Monday, March 16, 2009

Redup

Sepanjang perjalanan ke kampung, hujan turun tidak berhenti-henti. Kenderaan yang menyusuri jalan raya pula bergerak begitu perlahan. Masa saya rasakan begitu lambat berjalan. Bila mahu sampai? Teman yg baru saya kenali, tidak putus berbual. Manakala saya lebih banyak diam walaupun pada awalnya saya yang menguasai perbualan. Tak sangka peramah orangnya walaupun nampak serius dan moody. Memang sudah ditakdirkan. Saya sering mendapat kawan baru setiap kali menaiki bas pulang ke kampung.

Kepulangan saya ke kampung membawa hati berbunga dan ceria. Dalam kesibukan, hati saya terpanggil untuk pulang. Jadi saya gembira kerana berkesempatan. Cuma, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika menjenguk atuk di bilik tidurnya. Tersentap seketika. Atuk semakin uzur. Dia juga sudah mulai tidak mengenal cucu-cucunya. Yang membuat saya sebak, dia terpaksa merenung satu persatu cucu-cucunya dan cuba mengingati nama-nama kami. Tapi, hanya seorang sahaja yang dia ingat. Saya! Oh tuhan..Ingatan dan memori antara aset terpenting manusia. Tanpanya, hidup tidak akan sempurna. Tapi, itulah yang berlaku..Sudah tiba masanya ia dikembalikan. Sedikit demi sedikit.

Saya terharu. Atuk masih mengingati saya. Dia juga sempat bertanya, sudahkah saya menyambung doktor (PHD)? Saya menggeleng kemudian tunduk kerana menahan sebak. 5 bulan yang lalu, atuk masih kenal semua orang. Tapi kini........

Saya bukanlah cucu kesayangan atuk. Akan tetapi, saya suka dengar celoteh dan ceramahnya berjam-jam lamanya. Ketika dia sihat dulu, dia memang suka bagi tazkirah. Macam-macam petua dia bagi. Saya akan tuliskannya di dalam sebuah buku kecil. Banyak doa dan selawat yang diberi supaya di amalkan.

Ketika mahu pulang tadi, atuk meminta saya duduk dekat dengannya. Lebih dari setengah jam dia bercakap. Macam-macam yang dipesannya. Dan yang paling tidak boleh lupa, katanya saya kena belajar memasak sampai betul-betul pandai. Banyak kali dia ulang. Atuk ni macam faham-faham je. Selain itu, atuk juga sentuh alam pekerjaan. Betapa kita perlu bekerja dengan jujur dan mengikut hukum tuhan, selalu rujuk Al quran dan sunnah. Dia juga berpesan sungguh2 agar jauhi rasuah. Jangan sesekali terlibat. Selain itu, dia juga sempat berkata jangan tinggal pisah (asing) dengan adik (Ridhwan). Adik beradik perlu bersatu padu (waktu ini terrdetik dalam hati, atuk macam tahu je saya selalu gaduh dgn adik..mm) Begitu juga dia berpesan, jika ada masalah, jangan ragu2 telefon atuk. Malam pun tidak mengapa. Saya hanya menggangguk tanda faham. Sebelum bertolak, saya bersalam dengan atuk dan dia mengajarkan saya dua kalimah syahadah. Dan menyuruh saya mengulangnya sebanyak 3 kali dengan bacaan yang betul. Saya tergamam seketika. Kenapa atuk bersikap begini? Membuat saya lebih sebak.

Sepanjang perjalanan pulang ke KL, saya mengelamun panjang. Saya teringat kenangan zaman kecil dengan atuk. Dalam banyak2 cucu, atuk paling suka bawa adik ke mana sahaja dia pergi. Ke pasar, ke sekolah tempatnya mengajar, ke majlis orang kahwin dsbnya. Saya selalu ditinggalkan. Kata atuk, saya lasak dan tak tahu duduk diam. Tak macam adik yang dengar dan patuh cakap. Saya selalu merajuk sendiri kerana tak dapat naik Morris Minor atuk. Mmm...

Zaman berlalu. Kami meningkat dewasa dan atuk terus di mamah usia. Saya seperti kehilangan sesuatu akan tetapi sukar meluahkan. Apa yg mampu saya lakukan adalah berdoa untuk kebahagian atuk. Semoga atuk makin sihat dan terus bersemangat. Along sayang atuk.


No comments: