06-06-2009. Kelmarin saya mendapat surat saman dari mahkamah. Tertera nama Abah saya. Besar sebesar-besarnya. Dalam hati saya mengeluh, haih tak habis-habis lagi ke hal saman ni? Maka, semalam saya menghantar sms kepada Abah. Saya menulis:
"Salam, dimaklumkan bahawa ada 'mohor' mahkamah tiba di rumah dan Encik Razak dipanggil menghadap Mahkamah pada bulan Julai untuk mendengar bicara dari pihak *****. Jika Encik gagal hadir, waran tangkap akan dibuat terhadap Encik".
Dan tidak sampai seminit saya mendapat balasan. Abah menjawab:
"Salam, oleh kerana Encik Razak mempunyai seorang anak yang 'lawyer buruk' dan tidak tamat kursus maka dia boleh jadi 'minah sanggub', menjadi wakil dan segala hukuman boleh dikenakan kepada beliau mewakili bapanya".
Saya yang membaca SMS Abah tidak dapat menahan ketawa kerana geli hati yang amat. Saya mencari-cari idea untuk membalas 'serangan' Abah. Lalu saya menjawab:
"Ana bara'ah minkum (Saya berlepas diri dari anda semua)!"
Abah dan lawak antarabangsanya. Adakalanya cukup sinis hingga menyentap hati kecil saya ini. Adakalanya ia berbaur kasih sayang serta sokongan padu seorang bapa terhadap anak. Ketika saya berasa kurang yakin dengan sesuatu pilihan yang diambil, Abah sentiasa ada bersama memberi semangat. Saya masih menyimpan salah satu sms yang pernah dikirimnya beberapa tahun yang lalu. Bunyinya begini,
"Assalamualaikum, "Aku kan anak Abah". You have done the right choice. May the blessing and Rahmat of Allah SWT be with you."
******
"Aku kan anak Abah". Tentu anda biasa dengar ayat tu kan? Dipetik dari iklan telefon yang disiarkan di televisyen tidak berapa lama dulu. Ayat ini memang sangat popular di kalangan ahli keluarga kami. Dan pastinya ia merujuk kepada saya.
Begitulah gambaran hubungan saya dan Abah. Kami umpama rakan. Kadang rakan sepermainan dan kadang-kadang rakan business. Kami bertikam lidah, bertekak sesama sendiri dan masing-masing tidak mahu mengaku kalah. Adakalanya, kami ibarat memusuhi sesama sendiri tapi cukup mesra. Mama pula selalu buat tidak tahu. Tak kuasa melayan, katanya.
Saya memang anak Abah. Ini kerana, banyak perangai dan sikapnya diwarisi oleh saya berbanding adik beradik lain. Degil, bersikap "I don't care what people say," mentaliti yang berbeza dengan orang lain, suka membuat kerja last minute, dan banyak lagi. Yang bagusnya, apabila orang berkata saya mewarisi sifatnya yang suka membaca dan agak Islamik. Haha. Benarkah?
Abah saya seorang yang selalu sibuk. Dalam sebulan, hanya sekali dua sahaja dia menelefon saya. Selebihnya kami banyak berhubungan melalui SMS. Sejak kecil, saya dan adik-adik sering ditinggalkan kerana tugasnya menuntut dia selalu keluar daerah. Kami membesar menjadi anak-anak yang berdikari dan tidak banyak karenah. Nakal tu perkara biasa.
Ketika entri ini ditulis, sudah hampir 7 tahun saya tidak tinggal sebumbung dengan Abah. Kami hanya berhubungan dari jauh dan sesekali berjumpa. Tetapi, saya selalu merasa Abah dekat dengan saya. Seolah-olah dia sentiasa berada di depan mata. Ini kerana, dia tidak pernah sekalipun terlepas pandang atau cuai dengan tanggungjawabnya sebagai bapa. Dia tidak sempurna akan tetapi dia berusaha menjadi bapa terbaik.
Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dianugerahkan bapa seperti Abah. Dia mungkin satu dalam sejuta. Ya saya tidak malu mengakui ini kerana setiap anak di dunia ini pasti berbangga dengan bapa mereka. Paling tidak, kita perlu bersyukur kerana tanpanya kita tidak akan pernah wujud dalam dunia ini.
Abah, Along akan berusaha menjadi anak yang baik. Supaya Abah boleh berbangga kerana memiliki anak seperti Along. Supaya Abah mampu menarik nafas lega kerana didikan selama ini menjadikan Along manusia yang berguna dan hamba yang taat pada perintahNya.
"Ya Allah ya tuhanku, berkatilah kedua ibubapaku yang telah membesarkanku dan mendidikku sehingga aku menjadi hamba yang mentaatiMu"
Terima kasih, Abah. Along sayang Abah. Selamat Hari Bapa.
Nota 1 : Entri ini ditulis bagi menyokong pertandingan yang dianjurkan seorang teman blogger disini.
Nota 2 : Entri ini hanya sekelumit cuma luahan perasaan saya terhadap insan bergelar Abah. Anda juga boleh singgah di post terdahulu seperti di Gerak Hati Abah, Bertekak Manja, dan Happy Belated Birthday Abah.
Adios!
3 comments:
abah, ayah, papa atau apa saja panggilannya, adalah anugerah paling bernilai buat kita.
;)
yeah.... anugerah yang akan jadi amanah.
anugerah tidak ternilai thanks aie akaike n umaq for droping by here
Post a Comment