Edi Rizal 'kempunan'
Rusdi Ramli (kanan) bersama ibunya, Norlia Ghani menyiram air mawar di pusara Allahyarham Edi Rizal di Tanah Perkuburan Islam Keramat, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Noor Asrekuzairey SalimKUALA LUMPUR 27 Sept. - Anak ketiga pelakon veteran, Norlia Ghani iaitu Edi Rizal Ramli, 33, tidak sempat berhari raya dengan bapanya walaupun telah berjanji untuk pulang ke rumah orang tuanya itu di Gombak hari ini.
Ramli Ismail, 60, berkata, ketika kali terakhir bertemu Edi Rizal tiga bulan lalu, arwah memberitahunya mahu beraya bersamanya di rumahnya.
"Saya memang menunggu kedatangannya untuk beraya dengan saya dan adiknya hari ini.
"Tetapi ketika saya berada di rumah jiran kerana menghadiri kenduri, ada ahli keluarga menelefon dan beritahu Edi Rizal meninggal dunia kerana terjatuh dari pangsapuri,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Keramat di sini malam ini.
Dalam kejadian tengah hari ini, Edi Rizal terjatuh dari tingkat tujuh Pangsapuri Murni Titiwangsa, Keramat Jaya 2 di sini apabila cuba menyeberang tembok koridor bagi menangkap pencuri yang dikatakan bersembunyi di anjung sebuah rumah di tingkat itu.
Bagaimanapun, Edi Rizal tergelincir dan terjatuh ke bumbung sebuah rumah di tingkat dua sebelum jatuh ke tingkat bawah.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh penduduk dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba.
Menurut Ramli, walaupun jarang berhubung, namun sebagai bapa dia tetap menanti anaknya untuk beraya bersama.
Katanya, dia reda dengan pemergian Edi Rizal meskipun mereka tidak sempat berjumpa dan saling bermaafan.
Sementara itu abang mangsa yang juga pelakon Rusdi Ramli, 38, memberitahu, adiknya pernah menjadi mangsa samun sebulan lalu dan tindakannya cuba menangkap pencuri hari ini dipercayai akibat geram dengan jenayah yang berlaku itu.
''Dalam kejadian samun itu, adik saya kehilangan wang tunai hampir RM500 dan telefon bimbit.
''Sejak itu dia pantang mendengar atau melihat jenayah kecurian berlaku dan saya percaya kejadian hari ini ada kaitan dengan insiden yang berlaku terhadapnya,'' ujarnya.
Menurut Rusdi, arwah memang rapat dengannya dan sering mengadu serta berkongsi masalah.
"Kehilangan Edi Rizal menjadikan saya lebih sunyi kerana tiada lagi rakan untuk berkongsi masalah,'' ujarnya.
---------------------------Tangkap pencuri: Anak pelakon Norlia Ghani maut jatuh tingkat 7
ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia membantu Edi Rizal Ramli yang terjatuh dari tingkat 7 di Kuala Lumpur, semalam.KUALA LUMPUR 27 Sept. - Niat murni anak ketiga pelakon veteran, Norlia Ghani untuk menangkap pencuri di kawasan rumahnya di Pangsapuri Murni Titiwangsa, Keramat berakhir dengan tragedi apabila dia terbunuh akibat terjatuh dari tingkat tujuh, pangsapuri tersebut.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 petang ketika Edi Rizal Ramli, 32, dikatakan cuba menyeberang tembok koridor bagi menangkap pencuri yang bersembunyi di anjung sebuah rumah di tingkat itu.
Bagaimanapun tindakan Edi gagal apabila dia tergelincir dan jatuh ke bumbung sebuah rumah di tingkat dua sebelum terjatuh ke tingkat bawah.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh penduduk dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Menurut saksi, Mazlan Abdullah, 36, cubaan merompak oleh pencuri itu pada mulanya disedari oleh seorang pembantu rumah di tingkat tujuh yang kemudian menjerit meminta tolong.
Katanya, Edi dan beberapa penduduk bergegas keluar rumah dan cuba mencari penjenayah berkenaan.
"Bagaimanapun Edi yang mendapat tahu pencuri itu menyorok di sebuah rumah berlari ke tingkat tujuh.
"Dia kemudian bertindak menyeberang tembok koridor rumah berkenaan untuk menangkap pencuri itu tetapi terjatuh.
"Kami telah melarang dia daripada bertindak seorang diri tapi tidak diendahkan," kata Mazlan ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Katanya, pencuri tersebut bagaimanapun dapat melarikan diri dalam suasana kelam-kabut itu.
"Ini bukan kali pertama mangsa cuba menangkap pencuri. Dia memang selalu menolong menangkap pencuri tapi tidak sangka kejadian kali ini akan berakhir begini," katanya.
Abang ipar mangsa, Zainal Abidin Saad, 54, berkata, ketika kejadian ibu mertuanya tiada di rumah kerana berhari raya di rumahnya di Ampang.
"Semasa kejadian hanya abangnya, Romi sahaja berada di rumah kami di tingkat empat.
"Sebelum ini Edi pernah dirompak dan beberapa barangnya dicuri. Mungkin itu menyebabkan dia berang dan terus mengejar pencuri tanpa berfikir tentang keselamatan diri," katanya.
Zainal berkata, Allahyarham menunjukkan beberapa kelakuan pelik seperti sering mencium ibunya dan tidur berdekatan ibunya.
"Edi juga meminta duit raya daripada kakaknya yang sebelum ini tidak pernah dilakukannya.
"Mama ada memberitahu tentang sikap pelik arwah yang sering menciumnya dan mahu tidur berdekatan tapi kami fikir itu mungkin perkara biasa dan tidak langsung terfikir itu merupakan tanda-tanda arwah akan pergi meninggalkan kami.
"Dia juga ada bersalam dengan saya semasa hari raya dan meminta supaya dimaafkan segala kesalahan dan saya hanya fikir dia cuma bergurau sahaja," katanya.
Menurutnya, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat.
Sementara itu pelakon Rusdi yang dalam keadaan sedih ketika ditemui berkata, beliau ada berjumpa Edi semasa Hari Raya Aidilfitri dan arwah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik.
Edi merupakan anak ketiga daripada empat beradik hasil perkongsian hidup Norlia Ghani bersama Ramli Ismail. Pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Rusdi, Romiza, Edi Rizal, Emie Atkashina dan seorang anak angkat, Norlina.
-------------------------------------
Monday, September 28, 2009
Al-Fatihah Edi Rizal Ramli
Kejadian ini tidak disangka. Niat murni beliau untuk menangkap pencuri berakhir dengan tragedi meragut nyawanya sendiri. Lulu tidak mengenali beliau secara peribadi tetapi selalu terserempak dan bertegur sapa kerana kami berjiran. Begitu juga dengan mamanya, pelakon Norlia Ghani.
Ketika kejadian, Lulu tidak ada di rumah. Semalam, ketika pulang dari Bangsar kira-kira jam 6 petang keadaan Pangsapuri lengang seperti biasa. Begitu juga dengan surau berdekatan. Lulu hanya dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa dan berita bahawa Edi telah meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam itupun mama yang menelefon dari Sarawak. Betapa pantasnya berita tersebar sehingga mama yang berada jauh di Sarawak terlebih dahulu mendapat berita tersebut dari Lulu yang tinggal di sini.
Ketika itu, T.E.D sudahpun ke surau untuk solat maghrib dan dia juga tidak mengetahui sehinggalah dimaklumkan oleh penduduk setempat yang mereka akan melakukan solat jenazah untuk arwah Edi Rizal.
Lulu dan seluruh ahli kelurga lain bersimpati atas apa yang berlaku. Kami doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beramal soleh.
Kejadian ini pasti memberi kesan yang mendalam bagi penduduk pangsapuri. Ini bukanlah kali pertama arwah Edi menolong penduduk setempat menangkap pencuri. Kecurian semakin berleluasa di kawasan kediaman kami sejak akhir-akhir ini. Yang selalu menjadi mangsa adalah penduduk di tingkat atas kerana pencuri dengan mudah menerombosi rumah mereka melalui atap. Selain itu, keadaan sunyi sepi dan tiada orang terutama ketika musim cuti menggalakkan lagi aktiviti tidak bermoral ni.
Kawasan ini antara kawasan yang selamat untuk didiami kerana kita mempunyai jawatankuasa yang selalu memantau keselamatan kawasan kediaman dan penghuni. Akan tetapi, malang tidak berbau. Ia boleh menimpa sesiapa sahaja. Apa yang berlaku ke atas arwah Edi menjadi penguat semangat kami yang lain untuk terus menerus membanteras jenayah.
Al-Fatihah buat arwah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment