Wednesday, April 22, 2009

Kereta besar

22-04-2009. "Kau tengok mamat tu," tunjuk GD. Saya yang dari tadi sibuk membetulkan tali kasut tergamam seketika sambil melihat ke arah lelaki yang dimaksudkan. "Semalam pakai Suzuki Swift. Hari ini pakai Honda accord, kaya seh. Untunglah siapa jadi awek dia," kata GD selamba. Saya memandang GD. Kaya?

Saya terdiam. Dalam kepala otak ini ligat berfikir. Bertanya dan menjawab sendiri. Apakah sebenarnya ukuran kekayaan? Kereta besar? rumah besar? Bini besar? Saya ketawa sendiri. Maaf. Tidak bermaksud menyinggung hati sesiapa.

"Apasal kau ketawa?" tanya GD. "Kau rasa dia kaya ke? Hanya kerana dia ada kereta besar?" tanya saya. "Hello, zaman skrg ini kalau kau boleh pakai kereta besar, bertukar ganti pula, apa maknanya? Kau berduit la. Orang tak ada duit tak buat macam tu," jawab GD.

"Mungkin ya mungkin tidak" balas saya. "Apa yang ya apa yang tidak?" tanya GD.

"Tu semua hutang, GD. Berapa ramai orang kita yang mampu beli kereta dengan cash? In fact, kereta bukan aset, kau perlu ingat tu,"

Saya cuba menjelaskan apa yang saya rasa perlu diperbetulkan. Bukan seorang yang saya jumpa. Ramai. Pada mereka, berkereta besar sudah cukup menunjukkan bahawa mereka itu orang kaya. Saya tidak setuju. Jadi, mereka yang berkereta murah, outdated itu tidak kaya? Begitukah?

Kita terpaksa menerima hakikat. Manusia semakin hari semakin materialistik. GD adalah kawan saya. Dia salah jika terus mempunyai mentaliti- berkereta besar, poket pun besar.

Saya teringat suatu ketika dulu. Ketika abah saya menyuarakan hasrat untuk membeli sebuah MPV baru. Kami bermusyawarah. Saya katakan, beli hanya bila kita mampu. Jika tidak, jangan beli. Pakai sahaja kereta sedia ada. Tapi, abah berfikir sebaliknya. Ia satu keperluan. MPV yang besar mampu menampung kami adik beradik. Sangat sesuai untuk perjalanan yang jauh. Akhirnya, abah beli juga.

Sekarang, MPV tersebut jarang digunakan. Malah disimpan di garage. Berselubung. Apa sudah jadi?

Kehendak atau keperluan?

Saya akui. Berkereta besar memberi impak yang besar. Tak percaya? MPV yang kami miliki itu hanya ada beberapa buah sahaja di Malaysia ini. Limited Edition. Kami pernah memandunya sampai ke Terengganu dan ketika di sana, ada beberapa kenderaan yang berselisih jalan dengan kami lalu memberi isyarat supaya berhenti. Ternyata mereka adalah kenalan-kenalan abah. Bagaimana mereka tahu? Hanya melalui MPV terbabit.

Pernahkah kita terfikir, berkereta besar ini boleh mendatangkan macam-macam masalah. Hati perlu sentiasa di jaga. Kenapa saya berkata begitu? Saya teringat seorang kenalan abah yang agak rapat dengan saya. Dia bertanya pendapat saya, kereta apa yang paling sesuai dibeli untuk mereka yang hanya ada 4 orang anak beranak. Sebelum memberi pendapat, saya 'menguji 'dulu. Saya katakan di Malaysia kini ada kereta jenama import terbaru. Cantik dan bergaya. Harganya sekitar RM300k. Tapi, awal-awal lagi uncle menolak. Katanya berkereta besar dan mahal membuat kita rasa riak. Baik bersederhana sahaja. Masyallah, kata-kata uncle tu sangat terkesan di hati. Walaupun dia mampu, tapi dia memilih untuk besederhana. Akhirnya, dia beli kereta biasa-biasa sahaja.

Benar. Dalam keadaan mentaliti masyarakat kita yang memandang mereka yang berkereta besar adalah orang kaya, perasaan riak itu pasti ada walau sekelumit. Jangan nafikan. Kerana kita ini hanya manusia. Sentiasalah perbetulkan niat.

Lelaki yang saya ceritakan tadi, ada lagi sambungannya. Tuhan itu maha kaya kan. Di dunia lagi telah ditunjukkan. Selang beberapa hari selepas perbualan saya dengan GD, saya ternampak lori tunda datang menunda kereta Honda Accord miliknya. Kasihan. Tapi, apa boleh buat? Saya hanya mampu melihat.

Sesungguhnya dalam kehidupan ini ada banyak pengajaran yang boleh di ambil. Ini mungkin salah satu darinya.

3 comments:

nanami ichijo said...

Betul kak, besar periuk nasi, banyaklah keraknya.
Kereta bukan aset, rumah pun bukan aset, kalau masih berhutang, kan?

Nurul Zahar said...

Betul tu, Sakinah. Besar periuk nasi, banyaklah keraknya. Maknanya tidak salah punya periuk yg besar, tapi kita perlu tahu sukatan terbaiknya. Macam tu juga dalam hidup ini. Tak salah ada kereta besar, rumah besar dengan syarat kita mampu. Pinjaman itu satu bentuk hutang juga, bergantung kemampuan kita. Masalahnya, ramai yg berhutang lebih dari kemampuan membayar. Itu yg silap.

Nurul Zahar said...

Ya. kereta dan rumah bukan aset dan dikategorikan liabilti jika masih berhutang. Ia kerana nilainya akan susut mengikut masa. Ramai yang cenderung perasan yang mereka itu kaya. Cukup dengan rumah banglo tersergam indah dan 2 biji kereta mewah. Hakikatnya, jika semua itu masih dalam hutang, mereka mmg kaya. Tapi, kaya hutang. =)