09-07-2009. Semalam, Abah membawa saya dan Adik ke tapak di mana berlangsungnya Perhimpunan Tabligh terbesar 2009. Sekadar untuk melihat-lihat lokasi. Abah yang sejak Ahad lepas berada di KL atas urusan kerja akan terus berada di sini sehingga Ahad nanti. Memang sejak awal lagi dia sudah merancang untuk menghadiri perhimpunan tersebut yang akan berlangsung di Sepang. Dijangkakan seramai 150,000 orang dari seluruh dunia akan menghadiri ijtima' tersebut.
Menghadiri perhimpunan tabligh bukanlah sesuatu perkara yang asing bagi Abah. Sejak kecil, kami tahu dan faham Abah selalu keluar dan mengikut jemaah. Adakalanya dia akan keluar mengikut jemaah 4 bulan lamanya. Ke Thailand dan India. Itu dulu-dulu. Waktu dia masih muda. Kami masih kecil. Sekarang, paling lama pun 3 hari. Terikat dengan komitmen kerja membuatkan dia kurang ada masa untuk aktif seperti zaman mudanya. Tapi, dia tetap istiqamah dengan apa yang dia lakukan. Sejak sebelum kahwin sehinggalah sekarang. Impiannya, mahu kembali aktif apabila sudah pencen nanti. 5 tahun dari sekarang. Insyallah.
Saya perhatikan, walaupun Abah terlibat dalam tabligh, Abah tidak pernah pula memaksa kami anak beranak untuk turut serta bergiat dalam medan tersebut. Tiada paksaan. Mama pula lebih senang bersikap terbuka dalam banyak hal. Mama tidak terlibat secara aktif dengan tabligh (jemaah Masturat) namun, peranannya sebagai seorang isteri banyak membantu perjalanan Abah selama ini. Abah sering memuji mama. Tanpa sokongan mama selama ini mungkin Abah tidak berjaya melakukannya.
Saya melihat Abah dan saya melihat diri saya. Saya turut melihat ahli keluarga saya. Sememangnya, didikan Abah dalam keluarga banyak dipengaruhi oleh elemen-elemen tabligh. Cumanya Abah lebih senang bersederhana dan meletakkan kewajaran dalam mengambil sesuatu perkara. Tidak mahu menjadi extremist membuta tuli.
Umum mengetahui, pemakaian purdah adalah sesuatu yang dianggap sinonim bagi isteri-isteri para pengikut tabligh. Saya pernah bertanya abah tentang perkara ini ketika berumur 11 tahun. Ini kerana ketika kami sekeluarga tinggal di Johor Bahru dulu, ia menjadi isu yang agak panas di kawasan tempat kami tinggal. Masyarakat memandang sepi jemaah ini dan ramai yang takut untuk bergaul dengan mereka dek kerana penampilan mereka. Saya masih ingat abah berkata, pemakaian purdah bukan sesuatu yang wajib tapi ia adalah tertib jemaah. Saya kurang faham waktu itu. Tapi Abah berkata ia seperti undang-undang. Syaratnya, ia mestilah dilakukan tanpa paksaan. Saya menjawab, dah namanya undang-undang, nak tak nak mestilah kena ikut. Tapi, ia mesti dibuat tanpa paksaan. Boleh ke?
Ketika itu, saya mempunyai ramai kawan seangkatan. Mereka tiada televisyen di rumah apatah lagi komputer. Mereka tidak dibenarkan keluar rumah sesuka hati. Dan ibu mereka tidak dibenarkan bekerja. Sedangkan keluarga saya tidak begitu. Ada juga rentetan peristiwa yang tidak sedap didengar. Jika dulu berpurdah, sekarang sudah bertudung singkat dan menyarung seluar jeans. Jika dulu anak-anak dikurung di rumah, sekarang sudah pandai merayau-rayau. Saya pernah menjadi tempat luahan perasaan seorang rakan yang mengadu bahawa bapanya sudah lama tidak pulang ke rumah dengan alasan keluar ikut jemaah namun dalam masa yang sama meninggalkan dia dan ibunya terkontang kanting di rumah. Tiada duit untuk membeli makanan. Ini semua membuat saya bertambah confuse. Apa lagi yang boleh difikir oleh seorang budak berumur 11-12 tahun?
Semakin dewasa, saya mula faham kata-kata Abah dulu. Dan apabila saya meluaskan pemerhatian saya; salah satunya hasil dari pembacaan, JT ini adalah salah satu usaha dakwah. Dakwah cara Rasulullah. Tiada kepentingan. Tiada paksaan di dalamnya. Kita berkorban. Dan kita rela dikorban. Tapi, kita tidak berkorban membuta tuli. Suka saya katakan, hanya mereka yang benar-benar faham konsep JT itu sahaja yang mampu pergi jauh dan usahanya tersebut insyallah diberkati Allah SWT.
Saya tak mahu menulis panjang. Tak tahu mengapa tiba-tiba sahaja saya menulis tentang ini . Mungkin kerana ianya menjadi tajuk hangat orang dalam rumah saya ni sejak 2-3 hari yang lalu. Layan jelah.
Beriman dan beramal.
Nota 1: Tertarik ketika membaca kajian Barbra Metcalf dalam tajuk research: Islam and Women; the case of tablighi jama'at - Tiada politik dalam Tabligh.
*********
Aturcara:
11 Julai 2009 – SABTU
- 10.00 pg – 12.30 tgh : Bacaan Kitab Hadith (Taklim)
- Program Untuk Ulama
- Program untuk Khawas
- Program untuk Pelajar
- Selepas Solat Asar : Ceramah Umum
- Selepas Solat Maghrib : Ceramah Umum
- Selepas Ceramah : Solat Isyak
- Selepas Solat Subuh : Ceramah Pendek
12 Julai 2009 - AHAD
- 9.30 pg – 12.30 (Sebelum Zuhur)
- Nasihat Untuk Jemaah Yng Keluar Dan Musafahah
- Doa Penutup Ijtimak
- Selepas Asar : Nasihat khas untuk Jemaah Khidmat semasa ijtimak.
1 comment:
Sekali lagi pada pagi Sabtu, Abah bawa tawaf bazar dan melihat2 kawasan.Ramainya manusia dan khemah2 putih tersusun cantik mengikut negeri. Tak ubah seperti di Mina waktu haji. Pengalaman x akan bisa dilupakan.
Post a Comment