Saya dapat rasakan tahun ini akan menjadi tahun yang exciting dalam hidup saya. Tak pandai saya jelaskan. Naluri saya mengatakan demikian selain petunjuk-petunjuk kecil yang Allah s.w.t telah tunjukkan (^__^), Alhamdulillah. Semoga segalanya berakhir dengan baik kerana semua pasti mahukan husnul khatimah dalam setiap pengakhiran. AMIN
Persiapan untuk ke tanah suci sudah hampir siap. Cuma, seperti biasa untuk orang yang mahu ke tanah suci masalah visa masih menjadi satu perkara yang sedikit sebanyak menggusarkan hati. Bimbang mungkin visa tidak diperolehi walaupun segala persiapan sudah dibuat. Dalam perkara begini, kita perlu sentiasa dan tidak putus berdoa serta bertawakkal kepada Allah s.w.t. Paling penting adalah niat. Niat perlu diperhalusi. Mudah-mudahan Allah s.w.t permudahkan segala urusan.
Walaupun sehingga kini visa masih belum diperolehi dan hanya tinggal seminggu lagi untuk berangkat, kami sekeluarga terus melakukan persiapan dan dalam masa yang sama terus berdoa agar Allah s.w.t mudahkan urusan kami ini. Kami akur bukan mudah untuk ke sana. Wang yang banyak sekalipun tidak menjamin kita boleh ke sana kerana segala-galanya adalah ketentuan Allah s.w.t.
Seminggu berbaki ini, saya cuba untuk menimba sebanyak mana ilmu untuk persiapan sepanjang berada di sana. Saya percaya tanpa ilmu itu, saya mungkin akan kehilangan nikmat dan penghayatan sepanjang berada di sana. Sesuatu yang merugikan. Walaupun sebelum ini saya pernah ke sana, tapi ia tidak akan pernah sama. Keadaan pasti sudah banyak berubah. Saya sendiri sudah banyak berubah.
Hati ini benar-benar terasa lapang. Cuma kadangkala perasaan berdebar-debar itu datang secara tiba-tiba. Saya rasa saya sudah bersedia untuk ke sana. Saya berdoa semoga Allah mudahkan perjalanan kami ini. Untuk sahabat dan rakan taulan, walau di mana sahaja kalian berada saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kalian. Dan doa saya ini akan saya panjangkan lagi ketika di sana.
Semoga hati ini sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan bersedia. Semoga segala amalan diterima. Semoga Allah s.w.t permudahkan segalanya. Amin.
No comments:
Post a Comment