Ada apa dengan temuduga?
Mendengar perkataan tersebut pasti ada yang gerun, paling koman pun mesti ada rasa sedikit cuak. Apatah lagi bagi mereka yang tidak pernah ada pengalaman langsung pergi temuduga kerja. Gabranya hanya tuhan sahaja yang tahu, betul tak? :)
Pergi temuduga ini kita boleh ibaratkan seperti pergi merisik. Kita sebagai orang yang akan ditemuduga (interviewee) dan pihak satu lagi sebagai penemuduga (interviewer). Kedua-dua pihak berusaha mencari maklumat yang dihajati. Bila dah berkenan di hati, maka termeterailah ikatan. Eh, bukan ikatan antara dua sejoli tapi ikatan di antara pekerja dan majikan, employment contract la maksud saya :)
Sebenarnya, pergi temuduga kerja ini adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan. Lagi banyak temuduga kita pergi, lagi banyak perkara kita boleh belajar dan lagi banyak pengalaman yang boleh kita kutip. Apabila sudah terbiasa pergi temuduga, secara tidak langsung ia akan menolong kita membina 'self-confidence' dalam diri kita. Kita berasa yakin kerana kita sudah dapat memahami dan tahu bagaimana hendak mengendalikan situasi apabila berhadapan dengan penemuduga.
Saya ingin berkongsi pengalaman saya ketika ditemuduga oleh beberapa panel CIMB Investment Bank setahun yang lalu (temuduga untuk Management Trainee Program). Terdapat 4 peringkat temuduga yang perlu dilalui. Saya berjaya melayakkan diri ke peringkat ke-3 dan gagal di peringkat ke-4. Saya tidak berjaya mendapat jawatan yang dipohon akan tetapi pengalaman yang dilalui amat besar nilainya bagi saya yang ketika itu baru sahaja tamat pengajian. Itu merupakan pengalaman pertama saya ditemuduga :)
Seperti biasa, sebelum pergi temuduga kita perlu mempersiapkan diri sebaiknya. Baik dari segi fizikal, mental mahupun spiritual. 3 elemen ini sangat penting untuk dijaga kerana ia akan memberi kesan kepada cara penyampaian dan pengendalian diri kita semasa sesi temuduga.
Kita juga WAJIB menyediakan masa untuk diri kita mengkaji (research) tentang jawatan yang dipohon, apa skop yang diperlukan untuk melayakkan diri kita mendapat jawatan tersebut selain mengetahui serba sedikit tentang latar belakang syarikat. Sebagai contoh, jika sektor perbankan kita perlu tahu produk-produk perbankan yang ditawarkan mereka, juga misi dan visi syarikat.
Untuk melakukan ini bagi saya tidak sukar, kerana zaman sekarang teknologi berkembang pesat. Kita ada kemudahan internet, layari saja website mereka. Kita juga boleh google jawatan yang dipohon dan lihat kemungkinan adanya topik perbincangan yang berkaitan jawatan tersebut. Sebagai contoh, saya gemar berdiskusi dan berbincang dengan rakan cyber tentang banyak perkara termasuk pekerjaan di forum Lowyat dot net begitu juga di forum Mesra.net. Kita kena rajin mencari dan tidak ada ruginya berusaha :)
Selain itu sebelum pergi temuduga, pastikan segala dokumen seperti kad pengenalan, sijil-sijil sekolah & universiti termasuk sekali transkrip pengajian dan dokumen-dokumen berkaitan dibawa dan disusun kemas di dalam satu folder fail. Ini penting supaya tidak ada yang keciciran dan akan selalu tampak kemas. Susun dokumen tersebut bermula dari sijil pendidikan yang tertinggi sehingga yang terendah. Sebagai contoh, sekiranya kita memiliki ijazah sarjana (master), maka susun sijil tersebut terlebih dahulu diikuti dengan sijil sarjana muda (bachelor), diploma, spm dan begitulah seterusnya. Ia bagi memudahkan pemeriksa/penemuduga melihat sijil-sijil kita.
Ok. Berbalik kepada pengalaman saya temuduga di CIMB. Temuduga peringkat pertama hanya berkisar tentang diri kita; latar belakang pendidikan, misi dan visi hidup. Saya juga turut diuji tentang pengetahuan saya berkaitan syarikat dan sejauh mana kesungguhan saya untuk bekerja dengan mereka.
Seterusnya, di peringkat kedua seperti biasa temuduga pasti tidak lari dari verbal and numerical reasoning test. Kebanyakan syarikat-syarikat besar memang menggunakan pendekatan ini untuk menguji calon. Ada sesetengahnya tidak menuntut kita pergi ke pejabat mereka untuk membuat ujian ini tetapi boleh terus dilakukan secara online dari rumah. Contohnya, Petronas dan HSBC menggunakan perkhidmatan SHL. Jadi, kita perlu bersedia. Jika kita lulus ujian ini kita layak untuk pergi ke peringkat seterusnya.
Peringkat ketiga, saya telah diberi tugasan untuk buat satu presentation berkaitan satu tajuk yang diberikan (sebenarnya ada 3 pilihan dan saya hanya perlu pilih salah satu darinya). Tajuk yang saya pilih adalah berkaitan Merger & Acquisation. Walaupun saya tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang tajuk ini (saya ambil jurusan undang-undang), tetapi saya agak familiar dengan ungkapan tersebut kerana pernah mengambil subjek Company Takeover ketika belajar dulu. Itu tidak menjadi hal. Walaupun kurang arif, kita kena cuba juga berusaha untuk berikan yang terbaik.
Sesi temuduga peringkat ke-3 memang mendebarkan kerana saya perlu present di hadapan 4 orang panel. 2 orang Melayu, seorang Cina dan seorang India. Memang agak stress tapi kita tak boleh tunjuk 'ke-stressan' kita tu. Cuba berlaku tenang dalam situasi yang mencabar seperti itu. Walaupun hanya berpura-pura sekalipun, ia pasti dapat membantu kita menjadi tenang semula :)
Alhamdulillah, presentation saya walaupun bukanlah yang terbaik tetapi mendapat maklum balas yang positif. Mereka berasa hairan bagaimana saya boleh deliver sesuatu yang bukan bidang saya dan mempunyai kefahaman yang baik tentang tajuk tersebut. Hah, itulah gunanya membuat persiapan dan research sebanyak mungkin. Terima kasih Abah kerana menyediakan saya sebuah laptop kecil semasa belajar dulu :))
Banyak soalan yang ditanya berkaitan tajuk yang saya bentangkan, sebahagiannya saya boleh jawab, sebahagian lagi saya hentam sahaja. Hehe. Selain itu, saya juga ditanya tentang isu semasa (ketika itu sedang hangat kes perak - sidang DUN bawah pokok. Masih ingat? huhu). Saya menjawab berdasarkan apa yang saya faham dan semestinya saya tahu bahawa mereka pasti mahukan jawapan dari sudut undang-undang sebab saya kan pelajar undang-undang.
Peringkat ke-3 selesai.
Tidak lama selepas itu saya mendapat panggilan, saya TIDAK berjaya untuk mengikuti program tersebut. Ya, saya sedikit kecewa tetapi dalam masa yang sama dapat menerima hakikat tersebut kerana calon-calon yang datang semuanya hebat-hebat belaka, semuanya lulusan luar negara dan semuanya berbangsa Cina :) Namun begitu, 2 bulan selepas itu, saya mendapat panggilan telefon dari panel yang sama agar saya hadir untuk satu sesi interview di bawah program bersama Bank Negara Malaysia (BNM). Nah, saya sangat gembira kerana mereka masih mengingati saya. Tetapi, dukacitanya saya terpaksa menolak dengan baik kerana sudah komited dengan chambering yang sudah saya mulakan sebulan sebelum itu. I have to complete what i have started :) Dalam hati saya memujuk sendiri, bukan rezeki aku agaknya.
Apapun, saya telah lakukan yang terbaik semampu mungkin ketika menghadiri temuduga. Segala yang kurang, saya perbaiki dan tidak diulang lagi. Ia merupakan salah satu cabang motivasi yang bagus untuk kita majukan diri. Jadi, tidak ada ruginya pergi temuduga dan tidak perlu merasa takut. Kita mesti ada keyakinan dalam diri.
Keyakinan diri itu adalah kecantikan yang perlu ada pada setiap individu. Ia bukan semulajadi tetapi perlu dicari, perlu digilap seterusnya dipertahankan dalam diri setiap individu. Saya pun selalu merasa kurang yakin terhadap diri sendiri tetapi kita kena sentiasa berusaha untuk mencari keyakinan tersebut. Bukan hanya berpeluk tubuh sahaja dan berputus asa.
Ya. Jangan berputus asa. Jika kita gagal hari ini, bukan bermakna kita akan gagal esok. Jika kita tahu apa kelemahan dan berusaha untuk memperbaiki kelompangan tersebut, insyAllah kita akan berjaya. Ok, selamat berjaya dalam temuduga. Yakin boleh!
p/s: Entry ini agak panjang, tapi saya puas. Sekurang-kurangnya, lepas hajat saya. Hehe.
No comments:
Post a Comment