Sunday, July 22, 2012

Selamat Berbuka Puasa, pastikan yang HALAL sahaja

Alhamdulillah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini pihak yang berwajib nampaknya semakin agresif dalam memperkukuhkan lagi kempen produk Halal sesuai dengan tema yang acapkali kita dengar iaitu Halalan Toyyiban. Saya menyambut baik usaha murni ini kerana melihat ada kepentingan umat Islam dan agama Islam itu sendiri. Paling ketara sekali berkaitan dengan pemantauan terhadap premis makanan samada diketegorikan halal atau sebaliknya.

Terima kasih atas pemantaun dan penguatkuasaan yang dilakukan, kini umat Islam semakin yakin tentang status kehalalan sesuatu produk atau premis makanan. Usaha memantau dan menguatkuasa ini boleh dilihat dari banyak sudut antaranya dengan terwartanya beberapa pekeliling termasuklah penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 dan perintah-perintah berkaitan Halal. Saya kira, satu perkembangan yang sangat-sangat positif.

Kesannya, kita dapat lihat keseragaman berkaitan logo halal dilakukan bagi memudahkan proses pemantauan dan mengelakkan kekeliruan pada pengguna. Walaupun ada suara yang kurang bersetuju akan pendekatan ini, saya kira wajar ia diambil dari sudut positif sungguhpun saya sendiri tidak pasti samada pihak yang berkuasa mampu menggalas tanggungjawab ini sepenuhnya tanpa bantuan atau kerjasama daripada pihak ketiga (external party).

Cumanya, pada pandangan saya masih terdapat kelompangan yang besar dari segi kesedaran masyarakat berkenaan halal wal haram ini serta kaitannya dengan agama Islam itu sendiri. Terutamanya apabila ia melibatkan syarikat-syarikat atau entiti perniagaan yang kebiasaanya lebih mementingkan keuntungan semata-mata dan mengenepikan nilai-nilai murni, moral serta religion view. Sebagai contoh, kes yang terjadi baru-baru ini di salah sebuah pasaraya terkemuka Malaysia di mana minuman beer berjenama "terkenal" dijadikan sebagai promosi sempenan bulan Ramadhan. Sangat kurang cerdik dan sepatutnya tidak berlaku. Seolah-olah mempermainkan dan mengambil kesempatan atas bulan Ramadhan yang mulia ini.

Pada hemat saya, masyarakat perlu terus dididik. Non-Muslim dan lebih lagi bagi Muslim, mereka harus faham apakah tujuan industri halal ini ada di dalam kamus negara kita atau lebih tepat lagi dalam Syariah. Bukan setakat dari sudut produk makanan atau premis makanan dan seumpanya akan tetapi lebih dari itu. Perbankan dan institusi kewangan yang patuh syariah juga boleh dikatakan sebahagian dari industri halal. Skopnya sangat luas. 

Maka, lengkapkanlah diri kita dengan ilmu pengetahuan. Satu info berguna yang mungkin boleh dikongsi dengan rakan-rakan sekalian sebagai panduan iaitu segala maklumat berkenaan status kehalalan premis/restoren hotel boleh disemak melalui direktori Halal. Lebih-lebih lagi tehadap buffet-buffet Ramadhan yang ditawarkan. Pastikan ianya HALAL. Moga Allah SWT melindungi kita dari perkara yang haram serta syubhah. 
 
Cetusan Fikiran,
NurLuLu@ 12.51 AM July 22, 2012

Wassalam.

No comments: