Assalamualaikum Wrt Wbt,
Hampir setahun lebih berlalu sejak COVID-19 pandemik melanda dunia. Ramai yang terkesan. Sektor ekonomi lumpuh. Ramai yang hilang pekerjaan. Perniagaan tak dapat berlangsung seperti kebiasaan. Ramai yang gulung tikar kerana sudah tidak mampu menanggung kerugian. Makin lama makin rugi, siapa sahaja yang mampu bertahan.
Norma baharu diperkenalkan. Semua demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan bersama. Ada Standard Operasi Prosedur yang perlu dipatuhi. Bukan suka-suka. Bukan kerana ikut trend. Bukan kerana ini agenda barat. Barat pun terkesan. Keluar rumah perlu memakai mask. Sebelum masuk ke mana-mana gedung dan kedai, pastikan ada aplikasi MySejahtera. Sudah ada aplikasi, perlu pulak dipastikan ia dikemas kini. Kehidupan tidak sebebas dahulu. Rasa terkurung. Jiwa memberontak. Rakyat menderita. Mungkin ada yang sudah tidak mampu menyediakan sajian di atas meja. Mengikat perut meniti hari-hari yang masih belum nampak sinarnya.
Aku antara orang-orang yang beruntung. Masih punya pekerjaan, masih mewah makan, tidak terlalu terkesan dengan keadaan ekonomi semasa cumanya kuasa membeli makin berkurang kerana lebih banyak menyimpan dek mengambil sikap lebih berhati-hati mengatur langkah kehidupan. Alhamdulillah aku bersyukur. Rezeki ini untuk mama dan adik-adik. Untuk suami. Untuk orang-orang disekelilingku. Sanak saudara yang perlu dibantu..Kaum kerabat yang perlu diambil berat. Nenek di kampung yang sentiasa menunggu hujung bulan dimasukkan duit belanja dan perubatannya. Allahuakbar selagi aku masih hidup, mampu bekerja dan dikurniakan rezeki oleh Allah SWT, kebajikan mereka semua mudah-mudahan terjaga. Permudahkan lah ya Allah.
No comments:
Post a Comment