Tuesday, May 6, 2008

#52 - Hantar najis ke Palestin


Petikan dari Harian Metro, retrieved 6 May, 2008

APABILA tiba hari anda menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-60, kebanyakan anda pasti memikirkan adakah impian anda ketika remaja sudah tercapai.
Itulah yang akan dilakukan oleh Israel sepanjang beberapa hari akan datang, menjelang sambutan ulang tahun ke-60 penubuhannya.
Ia akan merenung pada cermin sambil berfikir - pinggang saya sudah mula sakit, lutut saya tidak sekuat dulu, tetapi saya masih berdiri. Namun, dalam keadaan itu, dalam hatinya, ia pasti berasa malu kerana masih menyembunyikan rahsia silam.

Tidak syak, Israel melahirkan novelis hebat seperti Am Oz dan AB Yehoshua, karyawan filem seperti Joseph Cedera dan pengkaji saintifik yang mendedahkan penyakit Alzheimer serta wartawan seperti Amira Hass, Tom Segey dan Gideon Levy yang mendedahkan jenayah rejim itu.
Tetapi, untuk mengucapkan tahniah pada hari ulang tahunnya, tidak mungkin terkeluar daripada mulut mereka yang mencintakan kebenaran dan keamanan.
Setiap kali mahu mengeluarkan kata-kata tahniah itu, pasti yang terkenang pada mereka ialah bau yang amat busuk. Bau najis.

Di Tebing Barat, najis dipam setiap hari dari penempatan Yahudi, menerusi paip besi yang besar, terus ke tanah penduduk Palestin.
Dari sana, najis itu akan menyerap masuk ke bawah tanah dan seterusnya ke tempat takungan air lalu menjadi racun.

Ketua Pegawai Perubatan Gaza, Dr Bassam Said Nadi menjelaskan: “Baru-baru ini, berlaku hujan lebat dan najis itu mula mengalir ke kolam tadahan air yang membekalkan air untuk seluruh kawasan ini.

“Saya sedar, jika tidak bertindak, penduduk akan mati. Kami terpaksa memaklumkan kepada mereka supaya tidak minum air itu selama seminggu. Mujur kami menyedarinya. Tetapi, pada masa akan datang, jika tak ada yang sedar, tak dapat saya bayangkan apa yang akan berlaku.”

Sementara itu, dalam usaha menghukum penduduk Gaza kerana memilih Hamas, tentera Israel tidak membenarkan paip baru dan simen yang diperlukan untuk membolehkan sistem kumbahan dibaiki.
Akibatnya, sejumlah besar najis dari penempatan Yahudi itu tersekat pada tali air di tanah milik penduduk Palestin.
Mac lalu, satu daripada tali air itu pecah, seorang bayi berusia sembilan bulan dan neneknya ditenggelami najis manusia.
Pusat Hak Kediaman Palestin memberi amaran, jika berlaku hujan lebat, kemungkinan 1.5 juta meter padu najis akan melimpahi seluruh Gaza, menyebabkan bencana kemanusiaan dan alam sekitar.
Mengapa keadaan seperti itu boleh berlaku?
Bagaimana, sebuah negara Yahudi yang diasaskan 60 tahun lalu dengan janji menjadi ‘negara cahaya’ di Asia Barat boleh melambakkan najis mereka pada penduduk Palestin yang lemah?

Jawapan awal terkandung dalam rahsia yang sudah diketahui Israel selama ini.

Kaum Yahudi yang tiba di Palestin pada awal abad ke-20 bukan datang dengan tujuan untuk menghapuskan bangsa Arab. Mereka datang kerana melarikan diri sebab diburu bangsa Eropah. Menjelang Perang Dunia Kedua, enam juta kaum Yahudi dibunuh di benua itu.

Mereka meyakinkan diri mereka bahawa Palestin adalah ‘tanah tanpa penduduk untuk penduduk yang tidak mempunyai tanah.’
Pendapat itu mungkin ada benarnya seperti yang terbukti di Tel Aviv, sebuah bandar yang dibina di sebuah kawasan padang pasir tanpa penghuni sebelumnya. Tetapi, sebahagian besar wilayah Palestin bukan kosong. Ia sudah didiami oleh mereka yang menyayangi bumi itu dan menganggap ia milik mereka.
Mereka langsung tidak bersalah dan tidak pernah berlaku kejam terhadap bangsa Yahudi.
Namun, apabila jelas bangsa Palestin tidak rela menjadi kaum minoriti di bumi yang sudah sekian lama mereka diami, pendatang Yahudi mula merangka rancangan jahat.

Perdana Menteri pertama Israel, David Ben-Gurion menulis pada 1937: “Masyarakat Arab perlu diusir. Tetapi, seseorang perlu melakukan sesuatu untuk membolehkan mereka diusir, seperti mencetuskan peperangan.”
Apabila masanya tiba, dia membantu merangka Pelan Dalit.

Tokoh sejarawan Israel, Ilan Pappe berkata, pelan itu adalah rancangan terperinci mengenai cara untuk mengusir secara paksa penduduk Palestin, termasuk dengan mengepung dan mengebom penempatan mereka.

Pelan itu dilancarkan pada 1948 dan hasilnya, kira-kira 800,000 penduduk Palestin diusir dari kampung halaman mereka. Israel mula diwujudkan di kawasan berkenaan dan mengusir dua juta lagi penduduk menerusi Perang 1967.

Sejak itu, Israel tidak pernah mahu menyerahkan semula tanah yang mereka jajah. Mereka berkata; “Jika kami benarkan semua tiga juta penduduk Palestin kembali, kami akan menjadi minoriti. Israel akan musnah.”

Bagi masyarakat Palestin pula, mereka berikrar tidak akan berdiam diri selagi hak mereka di bawah undang-undang antarabangsa terhadap tanah nenek moyang mereka tidak dikembalikan.
Masalah itu pada asasnya tidak dapat diselesaikan sampai bila-bila.

Tetapi dua tahun lalu, Pusat Dasar dan Kaji Selidik Palestin, dalam kajiannya mendapati hanya 10 peratus atau kira 300,000 pelarian Palestin berhasrat kembali ke tanah nenek moyang mereka walaupun di bawah pemerintahan Israel.

Rejim itu pasti boleh menerima jumlah seramai itu dan membayar ganti rugi kepada yang lain, tanpa sebarang masalah.

Tetapi, Yahudi tetap Yahudi. Mereka lebih suka memilih keganasan, menetapkan sendiri sempadan dan syarat sebelum mengadakan rundingan atau tolak ansur.

Baru-baru ini, kerajaan Hamas menawarkan gencatan senjata selama enam bulan yang boleh membawa kepada rundingan damai. Tetapi rejim Israel menyambut tawaran itu dengan meletupkan seorang pemimpin Hamas dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan Palestin berusia 14 tahun.

Mungkin Hamas tidak bersungguh-sungguh membuat tawaran itu. Mungkin semua negara Arab juga berbohong apabila menawar untuk mengiktiraf Israel jika rejim itu berundur hingga ke sempadan 1967.

Tetapi, tidakkah satu cadangan yang baik jika Israel cuba menerima tawaran itu?

Israel, sambil merenung rambutnya yang semakin putih dan enggan mencium bau najisnya sendiri, sebaliknya disalurkan ke kawasan penduduk Palestin, perlu tanya pada dirinya, negara bagaimana yang ia mahukan pada 60 tahun akan datang?

No comments: