Sunday, April 12, 2009

HIjau itu tenang

" Kau suka tinggal di kampung fiz?" tanya IFI pada suatu petang yg kelabu.

" Ya. Rasa tenang," jawabku sambil memandang pokok mangga di hujung laman dan segala macam pokok bunga di situ. Teratur. Bersih.

" Datanglah selalu. Kalau kau sudi," katanya.

Saya anak bandar. Dibesarkan di banyak bandar. Dibesarkan dalam rumah batu. Yang jendelanya gelap, lantainya marmar, dindingnya berjubin. Saya tidak pernah merasa bagaimana tinggal di rumah kampung. Lantainya, dindingnya, tingkapnya papan dan jambannya di luar! Mungkin pernah. Sekali sekala. Apabila bercuti di perairan pantai; challet merupakan pilihan yang tepat.

Sesekali datang ke negeri adat perpatih, saya bermalam di kampung IFI. Bukan saya tidak punya kampung. Saya punya kampung. Tapi kampung yang bukan sebenar kampung. Bangunan tinggi-tinggi tersergam indah. Sisi kanan sisi kiri. Depan dan belakang. Ia lebih layak digelar bandar.

Saya cemburu. Cemburu dengan orang kampung. Coraknya masih putih. Tompok kehitaman belum ketara. Adat masih terpelihara, agama di junjung. Hatta ayam dan itik pun mendengar kata. Masih lagi berbudi bahasa. Sopan sungguh.

"Kau emosi. Nampak yang indah-indah belaka. Kau belum tahu kesusahan hidup orang kampung,"ujar IFI.

"Ah, apalagi lebih susah dari duniaku ketika menuntut dulu? Apa yang kurang di sini berbanding mereka yang kebuluran di sana? Sekurang-kurangnya masyarakat kita tidak dhaif. Mungkin ada segelintir cuma namun, percayalah basikal tua pun mampu berjasa," jawabku.

"Aku tidak mahu menilai kesusahan dan kepayahan mereka itu sebagai satu beban. Kerana pasti ada balasan kesabaran yang bakal ditimbal kelak. Orang-orang sebeginilah, keimanan dan ketaqwaan mereka patut dicemburui. Hidup sudah susah, tidak pula berputus asa. Tempat mereka mungkin lebih mulia dari kita, siapa tahu?" tambahku.

Saya juga sedar satu perkara. Di kampung, mereka yang berilmu di hormati walau tidak punya harta. Tapi di bandar, yang berharta itulah yang berkuasa. Padahal, mereka lupa sesungguhnya yang paling mulia di sisi tuhan adalah yang paling bertaqwa. Harta, kuasa atau taqwa?

Rancak sungguh perbualan kami. Sambil duduk di atas sebatang kayu mati. Berlumut sudah. Bersaksikan langit kelabu dan angin sederhana kasar menyapa-nyapa, saya dan IFI menikmati petang damai itu dengan penuh perasaan. Dan saya nekad untuk kembali lagi. Jika IFI dan kampungnya masih sudi menerima saya =)

Di suatu sisi yang lain, saya lebih mengerti, mengapa kedua orang tua saya tidak pernah melarang dengan siapa saya berkawan. Tidak pernah berkira siapa mereka. Sedarjatkah, setarafkah walhal mereka berhak berbuat demikian seperti mana arwah atuk dan nenek berbuat demikian. Tiada kongkongan. Saya bebas memilih. Supaya saya berpijak di bumi yang nyata. Supaya saya mampu menghargai setiap insan walau siapa mereka. Supaya saya sedar dunia ini bukan dunia saya sahaja. Tapi, di kongsi dengan yang lain. Ada pengajaran dan ada teladan yang boleh di ambil. Belajar memahami dan difahami.

p/s : Sila abaikan coretan ini jika anda tidak faham. Kadang-kadang apa yang kita nak ceritakan tidak 'sampai' pada pembaca. Faktor? Kelemahan diri sendiri. Mencurah apa yang ada dalam kepala otak tanpa noktah dan koma.

No comments: