Saturday, June 27, 2009

Hidup tak selamanya indah

27-06-09. Sejak kecil, apa yang saya hajati pasti dipenuhi oleh Abah dan Mama. Mereka bukan sempurna dan perfect dalam segala hal akan tetapi mereka berusaha untuk menunaikan segala hajat saya. Kerana itu, saya membesar menjadi seorang yang sentiasa mendapat apa yang saya mahu. Saya dididik menjadi seorang yang fokus pada matlamat dan tidak mudah berputus asa. Saya akan dapatkan apa yang saya mahu dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

Namun, dalam sesetengah perkara saya terpaksa akur. Kerana kuasa bukan di tangan saya. Bukan saya yang menentukan. Walau saya mahu dan ingin memilikinya yang teramat, saya tidak berdaya untuk menggapainya. Saya bukan lagi anak kecil yang bisa membentak, menangis dan menjerit sekuat hati bilamana kemahuannya tidak dituruti. Saya sudah dewasa dan saya perlu rasional dalam tindakan saya.

Sebelum ini, saya kurang mengerti apa itu makna kecewa. Kerana saya jarang merasakannya. Kehidupan selama ini, cukup indah untuk diceritakan. Saya lalui hari-hari dengan penuh kesyukuran. Saya selalu mendapat apa yang saya mahu. Saya punya keluarga yang memahami. Hidup dikelilingi rakan-rakan yang baik dan sentiasa menyokong. Dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Dapat bekerja dalam bidang yang saya minati. Meniti perjalanan hidup yang setakat ini tidak lari jauh dari rancangan, matlamat dan cita-cita saya. Alhamdulillah. Ia merupakan rahmat dan rezeki dari Allah SWT yang tidak terkira.

Tetapi, saya perlu sentiasa berpijak pada bumi yang nyata. Kembali kepada realiti sebenar kehidupan. Mustahil untuk saya memperolehi segala apa yang saya idam dan impikan. Walaupun hati saya meronta-ronta untuk memilikinya. Walau saya sudah berusaha sepenuh jiwa. Saya terpaksa akur. Bukan bermakna saya kalah. Tidak sekali-kali. Tetapi, memberi ruang hukum alam mengambil tempat. Kerana inilah yang telah ditetapkan oleh Pentadbirnya. Saya tidak boleh melawan takdir.

Kini, saya sudah mulai mengerti apa itu makna kecewa. Dan ia sungguh menyakitkan. Harapan yang menggunung, impian dan angan-angan yang tinggi terhempas, lebur begitu sahaja. Hanya tuhan sahaja yang tahu. Jika masa boleh diputarkan kembali, tak ingin saya merasakannya. Untuk apa saya bercita-cita, untuk apa saya menaruh harapan sedangkan saya tahu saya tidak akan bisa memilikinya. Saya silap. Silap membuat perhitungan. Silap dalam menilai. Naif.

Sesungguhnya, kesedihan boleh terubat dalam masa yang singkat. Tapi, kekecewaan mengambil masa yang lama untuk dirawat. Kerana kita hilang kepercayaan. Hilang keyakinan diri, hilang rasa hormat. Ya Allah, berikan aku kekuatan. Saya sangat beremosi ketika ini. Maafkan saya. Ia tak akan mengambil masa yang lama.
Buat Mama dan Abah,

Jika Mama dan Abah membaca entry along kali ini, maafkan along kerana tidak berterus terang dengan apa yang berlaku. Along tahu mama dan abah risau dek perubahan yang berlaku. Tapi, percayalah along mampu atasi semua ini. Ia melibatkan hati dan perasaan. Tiada siapa yang mampu menolong. Yang diperlukan hanya sedikit masa dan ruang.

Kepada Allah tempat saya mengadu. Sesungguhnya hablum minallah tidak pernah sesekali mengecewakan. Saya pasrah.

No comments: