Monday, September 13, 2010

2010 Eid Mubarak!

Assalamualaikum,

Raya 2010;- saya dan T.E.D beraya tanpa Mama, Abah dan 3 beradik kami yang lain. Sedih? Tidak juga kerana ini bukanlah kali pertama kami beraya tanpa mereka disisi. Mungkin kerana sudah terbiasa begitu sejak 10 tahun kebelakangan ini, maka perasaan sedih atau bermuram durjana di hari raya tiada dalam kamus hidup setakat ini :) Lagipun, beraya bersama sanak saudara juga sangat best dan tiada bezanya. Cumanya, tak dapatlah nak lakukan tradisi bersalam-salaman dan memohon ampun dan maaf dengan kedua ibubapa seperti kelaziman keluarga yang lain. Setakat bermaafan melalui talian telefon je lah.

Saya tetap bersyukur kerana masih ada sanak saudara dan juga seorang nenek. Dengan merekalah saya menumpang kasih ketika keluarga jauh di mata. Secara tak langsung, hubungan saya dengan mereka menjadi rapat dan akrab. Jikalau dulu, saya hanya pandai 'membontoti' Mama dan Abah, mengikut ke mana sahaja mereka pergi dan tidak pandai bergaul. Selalu segan untuk bersuara, hanya memerhati penuh asyik Mama dan Abah menyakat saudara mara dengan gurau senda mereka. Sekarang ini, keadaan telah banyak berubah. Mungkin kerana saya sudah dewasa dan sudah pandai 'membawa diri' ketika bersama sanak saudara yang lain. Apabila bertandang ke rumah mereka, mereka juga sudah tidak kekok melayan kita walaupun tahu Mama dan Abah tidak ada bersama. Satu perasaan yang sukar digambarkan. Saya merasa seperti saya berjaya membawa 'spirit' Mama dan Abah bersama saya :)

Mama dan Abah terkenal dengan sikap ramah dan mesra alam mereka. Jadi tidak hairanlah apabila mereka berpeluang untuk beraya di kampung, suasana menjadi begitu meriah dan riuh sekali. Raya kali ini mungkin tiada kedengaran riuh rendah suara mereka tetapi saya dan T.E.D ada untuk menceriakan lagi suasana. Saya tidak mahu terutama nenek berasa sedih kerana Mama dan Abah tidak dapat pulang beraya. Saya mahu mereka semua berasa gembira.

Apapun, raya kali ini tetap meriah walaupun kehadiran ahli keluarga tidak lengkap. Ada yang tidak dapat pulang kerana masalah kesihatan. Ada juga yang tidak dapat pulang kerana masih menuntut di luar negara. Tidak mengapalah, yang penting semua orang gembira dan happy terutama nenek. Itu yang paling penting.

K, Selamat Hari Raya untuk semua LLJ's reader. Saya menyusun 10 jari memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap. Yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang buruk itu tidak lain adalah dari kelemahan diri saya sendiri. Maaf zahir dan batin!


(Keluarga sebelah Mama) Dari kiri: Qaisara Nur Dayana, Pksu Budin, Pak Mat, T.E.D, Izzah, Izzati, Izzannuddin, Izzuddin, Izizi, Ibu Yat, Ayah Iz, Izani, Amanina dan Mak Ida.

Nota 1: Gambar ini diambil pagi tadi sebelum masing-masing bertolak pulang. Hanya suku sahaja ahli keluarga yang sempat dirakam. Yang lain sudah bergerak pulang semalam. Gambar raya pertama tidak dapat dikongsi kerana masalah penataan cahaya. Kabur. Sayangnya.

Nota 2: Lebih senang upload gambar di FB kerana mudah nak menge-'tag' mereka. Rasa teruja kerana bukan yang kecil sahaja ada FB, ibu-ibu dan bapa-bapa pun ada FB masing-masing. Haha. Inilah yang dikatakan zaman cyber :)

Nota 3: Jika berkesempatan, saya akan kongsikan gambar-gambar raya kami di sebelah keluarga Abah yang terkini dan dulu kala. Kebetulan ada sepupu yang mengirimkan email mengandungi gambar-gambar raya ketika kami masih kecil dulu serta gambar-gambar lama Abah serta adik beradiknya ketika kecil. Begitu nostalgik!

No comments: