Saya nak cerita pasal Justin Bieber. Saya tahu cerita pasal Justin Bieber datang Malaysia ni macam dah lapuk dek zaman. Konsertnya pun dah seminggu berlalu. Tapi, saya nak cerita juga. Bukan sebab saya peminat si Bieber, tapi sebab saya ni KAKAK kepada peminat Justin Bieber, Eeqah. Satu-satunya adik perempuan yang saya ada.
Saya pun kurang pasti sejak bila Eeqah mula minat dengan si Bieber ni. Setahu saya, dia kureng dengan penyanyi mat salleh sebab tumpuan banyak diberikan pada mat korea. Entah berapa ratus cd cerita korea dalam simpanan dia, saya pun tak pasti. Saya tak kisah, asal jangan lalai. Jangan sampai terlalu obses hingga abaikan tanggungjawab. Pandai-pandailah sendiri.
Dikhabarkan sebelum kedatangan Bieber ke Malaysia, sekolah Chong Hwa mengalami simptom Bieber fever. Adik saya pun tak terkecualilah. Saya tengok dalam semua folder/file dia ditampal dengan gambar Bieber. Even dalam purse dia pun ada gambar Bieber. Tiba-tiba sahaja dia suka pada warna ungu. Setahu saya dia tak pernah suka warna ungu.
Dipendekkan cerita, pada hari Bieber dijadualkan buat persembahan (khamis) di Stadium Merdeka, Eeqah menang suatu pertandingan di sekolahnya. Nak tahu apa hadiahnya? Satu tiket menyaksikan konsert Justin Bieber! Tiket no. 2882. Dan ia merupakan kejutan pihak sekolah dengan menyediakan hanya satu tiket sahaja bagi sesiapa yang menang.
Ketika dia melangkah ke pentas, satu sekolah menjerit padanya. Rakan-rakan bersorak padanya.
Tapi, tidak lama kemudian Khazieeqah memulangkan semula tiket tersebut kepada guru besar.
Semua tertanya-tanya termasuk cikgu; "wei se me?" (dalam bahasa cina, maksudnya kenapa?).
Khazieeqah tetap Khazieeqah. Jiwanya kental dan dalam keadaan begitu, dia tahu apa yang terbaik untuk dirinya.
Ada 3 alasan kenapa dia pulangkan tiket tersebut. Pertama, sebab ia malam jumaat. Bukankah pada malam tersebut biasanya kita baca yassin dan perbanyakkan bacaan al-Quran? Kedua, ia berlangsung pada hari persekolahan. Jika dia pergi, pasti dia akan pulang lewat. Ketiga, siapa pula yang akan menemankan dia jika dia pergi sedangkan tiket hanya satu sahaja. Jadi, dia pulangkan tiket tersebut dan terangkan pada guru besar kenapa dia berbuat demikian.
Saya hanya tahu perkara ni dari Mama bila pulang dari kerja pada hari tersebut. Saya lihat Eeqah agak muram. Bila ditanya, dia hanya mendiamkan diri. Rupa-rupanya ada cerita disebaliknya.
Bak kata pelakon Asyraf Muslim dalam majalah Al-Islam baru-baru ini, "Saya berdepan dengan dilema, antara kemahuan orang lain dan pendirian saya sendiri". Dalam situasi Khazieeqah, 'Kemahuan orang lain' saya qiaskan pada kemahuan duniawi. Saya tahu dia memang meminati Justin Bieber dan ia sangat jelas kelihatan. Namun, setiap perkara yang kita lakukan pasti ada batasannya. Biarlah bersederhana dalam perkara begini. Pendirian kita adalah jauhi perkara yang lagha.
Alhamdulillah, dia faham.
Saya sangat berbangga punya adik sepertinya. Walaupun bersekolah cina, tapi dia berjaya membawa perwatakan seorang Muslimah yang baik. Berjiwa kental dan berprinsip. Dia memang lain dari yang lain. Dia adalah anugerah tuhan yang tidak terhingga. Moga-moga apa yang berlaku ini, menjadikan dia lebih kental menempuh dugaan pada masa depan.
No comments:
Post a Comment