Friday, February 4, 2011

Kenang ia. Mungkin ia salah satu kuncinya.

Hampir setiap malam, sebelum masuk tidur saya akan cuba untuk muhasabah diri. Jika kepenatan atau tak berkesempatan, saya akan buat pada bila2 waktu terluang keesokan harinya. Muhasabah sentiasa mendekatkan saya denganNya. Tahu kenapa?

Dalam bermuhasabah, saya rasakan benda yang paling sukar untuk dilakukan ialah untuk bermuhasabah tentang perkara-perkara mengembirakan yang kita tempuh sepanjang hari. Selalunya kita hanya akan bermuhasabah apabila kita ditimpa kesusahan, kesedihan, dan ketika kita sedang berduka. Apabila kita sedang bergembira, jarang sekali kita nak muhasabah. Kita jarang nak bersyukur apabila kita rasa gembira. Tapi, bila kita sedang ditimpa kesusahan, kepadaNya juga kita kembali mengadu. Pada waktu itu, barulah kita mulai bermuhasabah. Adilkah begitu?

Saya beroleh ketenangan setiap kali saya bermuhasabah, walaupun saya mengenalnya hanya setelah terpaksa menanggung rasa kecewa dengan sebuah hubungan yang tidak kesampaian. Saat itu saya belajar betapa indahnya jika kita bermuhasabah. Melihat sesuatu dengan mata hati dan bukan mengikut nafsu semata-mata. Terasa bebas jiwa ini dari segala bebanan yang ditanggung. Dan apabila kita bermuhasabah atas perkara yang menggembirakan, ia mampu membahagiakan hati.

Mereka berkata, "perkara yang lepas, jangan dikenang-kenang". Tetapi, saya suka mengenangnya sebagai pengalaman. Pengalaman yang membuat saya selalu rasa bersyukur kerana disebalik setiap pengalaman itu, tersembunyi hikmah yang jika tidak saya sendiri memahaminya, tidak akan ada orang lain yang akan faham.

Adakala pengalaman itu melucukan. Adakala ia menggembirakan. Adakalanya pula menyakitkan. Itulah lumrah kehidupan. Kita menyelusuri jalan yang kita tidak pasti apa di hadapannya. Masa lalu mampu memandu arah hidup ini ke jalan yang diredhaiNya jika kita bijak menilai. Muhasabah mungkin salah satu kuncinya :)

~terkenang si dia. Kerana dia, saya faham apa itu cinta dan apa itu rasa ingin memiliki. Ia tak pernah sama. Terima kasih kerana menyedarkan :) Semoga berbahagia walau di mana pun berada.

No comments: