Kami akan berpindah ke rumah sewa yang baru.
Berdekatan sahaja dengan rumah sewa yang kami diami di ketika ini.
Walaupun berat hati melepaskan rumah ini, tapi kami terpaksa. Tuannya sudah menuntut kerana masanya telah tiba.
Sebetulnya, kami sudah penat berpindah randah. Mama terutamanya. Kata Mama, perpindahan kali ini adalah yang ke 15 kali sepanjang perkahwinannya. Saya faham. Sebahagian memori tersebut masih ada dan saya masih ingat.
Bukan kami tidak mahu mempunyai rumah bertanah sendiri di kota raya ini, namun rezeki masih belum ada untuk memilikinya. Cukuplah sebuah banglo kecil di kampung serta dua unit rumah di tengah kota raya dan selatan tanah air.
Untuk tempoh 3 tahun ini, kami perlu menyewa untuk kelangsungan kehidupan. Menyewa rumah yang berdekatan dengan sekolah bagi memudahkan adik-adik meneruskan pelajaran tanpa perlu jauh dari Mama dan Abah.
Sekarang ini bukan mudah untuk menempatkan diri ke sekolah-sekolah swasta aliran cina. Mungkin ini adalah sebahagian dari pengorbanan kami untuk mereka. Harapnya pengorbanan terbalas dengan sikap mereka yang rajin belajar dan berakhlak mulia.
Perpindahan ini satu penghijrahan buat kami. Namun, ketika langkah baru hendak bermula, ada peristiwa berlaku sedikit sebanyak menyentuh emosi. Moga apa yang berlaku menjadi iktibar. Mama menganggapnya sebagai satu ujian dan tanda sayangnya Allah Swt kepada hambaNya supaya kita berfikir dan dapat merenung setiap kejadian yang berlaku dengan mata hati.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment