Saturday, January 17, 2015

Pergi tidak kembali

Hari ini genap hari ke-4 pemergian mk long, pergi menghadap ilahi buat selama-lamanya.
 
Terlalu banyak kenangan bersama, menjadi sukar untukku melelapkan mata. Allahurabbi, berikanlah ketabahan untuk hambaMu ini ya Allah. Juga buat sepupu-sepupuku yang kehilangan ibu mereka, abahku yang kehilangan kakak, suami yang kehilangan isteri, dan ibu yang kehilangan anak. Berat ujianMu ini ya Allah.
 
Sosok tubuhnya yang kurus kering serta hanya mampu berkerusi roda adalah keadaan mk long yang aku lihat buat kali terakhir sebelum beliau berlepas ke China, bulan lalu bagi mendapatkan rawatan kanser. Saat itu, walau hati telah berkata-kata moga ini bukan pertemuan terakhir, namun kerisauan tetap melanda. Allah lebih tahu apa yang terbaik.
 
13 January 2015, sejurus kapal terbang mendarat di KLIA, beliau pergi buat selama-lamanya. Saat jenazah tiba di rumah, dan selimut yang menyelimutinya dibuka, aku hanya mampu menangis ya Allah. Menangis semahu-mahunya dalam diam. Astagfirullahalzim, itulah yang diulang-ulang lidah ini. Sebak, kerana aku menghantarnya pergi dengan baik dan menjemputnya pulang dalam keadaannya begini. Tidak bernyawa. Tapi siapakah yang mampu melawan kehendak takdir, dan inilah ketentuanNya Yang Maha Esa. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.. mati…….dan akan tiba saatnya nanti kita merasainya…
 
Aku pandang wajah mama. Wajah abah. Sugul. Abah sangat terkesan dengan berita ini. Waktu aku menerima berita kematian mk long, abah tiada di rumah, ke masjid menunaikan solat maghrib dan hanya akan pulang kira-kira jam 9.30 malam. Mama dan aku bergegas ke masjid. Menunggu abah selesai membaca al-Quran. Abah terkejut melihat kehadiran aku dan mama di situ, dan apabila mama memberitahu abah “Kak long dah tak ada”, airmuka abah terus berubah. Ya Allah, ini adalah kali ke 3 aku melihat abah begitu sedih. Pertama, ketika arwah nenek meninggal ketika kami masih di luar negara lebih 10 tahun yang lalu. Kedua, ketika arwah atuk abah (abah mama) meninggal dan itulah buat pertama kalinya seumur hidupku melihat abah menitiskan airmata.
 
Mama kata, sejak mk long meninggal abah nampak down. Tidak bersemangat. Ya Allah, kesedihan ini hanya mampu terubat oleh waktu…aku tahu abah dan mk long sangat rapat. Aku sendiri sering kali dikatakan anak mk long kerana aku lebih menyerupai mk long ku berbanding abahku. Ketika aku di luar negara dan di kelilingi rakan-rakan abah, yang juga turut mengenali mk longku pasti mereka mengatakan aku lebih mirip mk longku. 

Arwah mok long ku adalah wanita yang bijak, dan sangat hebat. Beliau telah berjaya mendidik zuriatnya sehingga 4 daripada 5 anaknya menjadi Hafiz dan Hafizah. 5 tahun terakhir kehidupannya, banyak dihabiskan dengan menulis buku dan menimba ilmu. Sebelum itu beliau adalah seorang Jurutera petroleum dan juga merupakan graduan wanita pertama Malaysia dalam bidang petroleum sehingga mendapat pengiktirafan. Abahku pula graduan kejuruteraan kimia. Kerana itu mereka dua beradik sangat rapat.
 
Di saat-saat akhir perjalanan kehidupannya, arwah telah dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan oleh anak-anaknya. Anak kedua menjadi imam solat jenazah dan membaca talkin untuknya di perkuburan. Allahuakhbar, apalagi yang kita perlukan selain meninggalkan anak-anak yang soleh dan solehah. 3 daripada  5 anak beliau tidak dapat pulang ke Malaysia. Hanya mampu skyping dari jauh dan ber-online, sejak dari ketibaan jenazah di rumah sehinggalah disembahyangkan dan dikebumikan. Tidak dapat aku bayangkan perasaan sepupu-sepupuku yang jauh. Kerana komitmen peperiksaan, mereka tidak dapat pulang. Semoga Allah memberi ketabahan buat mereka.
 
Ya Allah, aku memohon padaMu agar ampunkanlah dosa arwah Mk Longku. Tempatnya dia di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Jauhkanlah dia dari azab kubur. Rahmatilah dia dengan kasih sayangMu ya Allah dan semoga segala kebaikan yang dilakukannya pada hayat ini menjadi penolong dan bekalan untuknya.  

Terima kasih kerana meminjamkan dia untuk kami ya Allah. Semoga kehidupan ini bererti dan dapat membantu kami di akhirat kelak. Al-Fatihah.

Perjuangannya di dunia sudah selesai. Kita pula macamana? Ampunkan kami ya Allah.
 

No comments: