Assalamualaikum,
Khusus untuk tatapan pembaca wanita.
Pasti ada ramai di luar sana seperti saya yang sering menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja. Lebih-lebih lagi apabila bekerja betul-betul di tengah bandaraya, ia adalah pilihan yang sangat tepat.
Walaubagaimanapun, sebagai perempuan kita terdedah kepada pelbagai perkara negatif apabila menggunakan alternatif ini. Sebagai contoh, kita seringkali berdepan dengan keadaan sesak di dalam bas mahupun train. Dalam keadaan ini, kita terpaksa berhimpit-himpit dengan kaum lelaki yang pastinya mendatangkan perasaan kurang senang dan tidak selesa. Bagi pengguna komuter KTM, pasti anda faham benar apa yang saya maksudkan.
Dalam keadaan begitu kita terdedah dengan perlakuan tidak beradap dan beretika. Siapa yang boleh menghidu bila mana kita berada di tempat yang salah, pada masa yang salah dan dengan orang yang salah? Malang memang tidak berbau.
Bagi sesiapa yang pernah mengalami peristiwa diganggu, dicabul dan sebagainya, saya nasihatkan anda supaya tidak gentar untuk menyuarakan hak anda. Jangan membiarkan mereka yang tidak bertanggungjawab merasa apa yang mereka lakukan boleh diterima.
Di saat anda diserang samada secara fizikal atau mental, anda perlu bangun memprotes. Jangan takut, kerana apabila anda berani, pemangsa akan mula rasa gelabah dan gerun. Biasanya kes cabul di tempat awam di dalam bas/train, berlaku apabila keadaan sesak dan penumpang terpaksa berhimpit-himpit.
Jangan berdiam diri apabila ia berlaku kepada anda. Cuba dapatkan pertolongan penumpang lain untuk menangkap si pencabul. Jika ada bersama anda pepper spray, anda boleh gunakan itu sebagai alat mempertahankan diri. Namun, jika nasib tidak menyelebahi anda mungkin dia akan terlepas begitu sahaja.
Jika itu yang berlaku, jangan panik. Cuba cam wajah suspek, perhatikan sekeliling dengan mengingat sebanyak maklumat yang boleh seperti (masa, tarikh, no. plat bus/train/ pegawai yang bertugas pada hari tersebut) dan seterusnya buat laporan polis. Anda juga boleh membuat aduan kepada pihak berwajib seperti KTM atau RapidKL supaya mereka boleh membuat tindakan susulan.
Di balai polis nanti, mereka biasanya akan mengambil aduan anda dan kemudiannya membawa anda berjumpa dengan pegawai penyiasat untuk di ambil keterangan. Mereka akan bertanya beberapa soalan dan anda perlu menjawabnya dengan baik dan yakin. Jika anda cam wajah suspek, gambaran wajahnya akan diperolehi dan anda dikehendaki untuk membuat kawad cam. Prosesnya mungkin mengambil masa sedikit, tapi nasihat saya jangan mudah mengalah. Adalah menjadi tanggungjawab kita membasmi jenayah seperti itu lebih-lebih lagi ia membabitkan keselamatan dan hak kita sebagai wanita.
Saya nasihatkan agar kita wanita mesti sentiasa menjaga diri dan berwaspada dengan keadaan sekeliling. Pastikan anda membawa bersama alat mempertahankan diri seperti payung, pepper spray, atau electroshock weapon for self defense. Ada syarikat yang mengeluarkan electroshock device seperti itu dalam bentuk lipstick tube. Mungkin ia nampak remeh dan temeh, tetapi sebenarnya memberi impak yang besar kepada kita.
Untuk wanita di luar sana, jangan takut dan gentar. Kita mesti berani dan tahu apa hak kita. Berhati-hati dengan orang disekeliling dan jagalah diri. Sayangi diri anda.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment